Sunday, December 26, 2010

Pelajar UiTM mohon bantuan kos rawatan dialisis

KUALA KETIL: Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang menderita sakit buah pinggang sejak tahun lalu merayu bantuan orang ramai bagi menampung kos rawatan terlalu tinggi.

Nornadia Adnan, 21, kini bercuti dan menetap bersama keluarganya di Taman Tanjung Puteri di sini bagi menjalani rawatan dialisis di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

Ibunya, Hamidah Noor, 48, berkata doktor di HSAH mengesahkan Nornadia menghidap penyakit buah pinggang serius dan perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu dengan kos kira-kira RM450.

“Nornadia mula menerima rawatan sejak November lalu dengan kos rawatannya dibiayai UiTM, namun hingga bulan ini saja dan mulai Mac depan, semua perbelanjaan berkaitan rawatannya perlu kami sediakan.

“Bayangkan, untuk tiga kali rawatan kami perlu menyediakan RM450 seminggu dan sebulan berjumlah RM1,800. Mana kami nak cari wang sebanyak itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Bapanya, Adnan Mahmud, 49, yang bekerja sendiri memperoleh pendapatan kira-kira RM500 sebulan dan perlu menyara isteri serta empat anak, sekali gus tidak mampu menanggung kos rawatan Nornadia.

Nornadia, bekas pelajar cemerlang Sekolah Menengah Sains Sultan Mohd Jiwa, Sungai Petani mengambil pengajian dalam bidang Sains Fizik di universiti terbabit dan kini bercuti sehingga Jun depan bagi menjalani rawatan penyakit dihidapinya.

Nornadia berkata, dengan keadaan dirinya sekarang, pihak UiTM diharap memberi peluang kepadanya untuk meneruskan pengajian kerana dia berazam membela nasib keluarga apabila bekerja kelak.

“Saya bersyukur dan berasa lega kerana menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan, tetapi belum cukup bagi menampung kos rawatan dialisis yang perlu dibuat selagi belum pulih,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Kuala Ketil, Rahim Ahmad, 63, berkata pihaknya menyediakan tabung khas mengumpul dana Nornadia yang diletak di masjid terbabit bagi mendapatkan sumbangan daripada orang ramai.

“Sebelum solat Jumaat, kita buat pengumuman supaya jemaah dapat menghulurkan sumbangan bagi mengisi tabung berkenaan dan diharap dengan cara itu dapat membantu mengumpul dana untuk membiayai kos rawatan Nornadia.

“Selain itu, saya akan menghubungi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) cawangan Kedah bagi mendapatkan bantuan,” katanya.

Orang ramai yang simpati dan ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi bapa Nornadia, Adnan di talian 017-4435479 atau ke akaun Bank Islam Nornadia, 07052020066161.

myMetro
2010/02/27

No comments:

Post a Comment