Friday, February 18, 2011

Diabetes kencing manis dalam usia muda .. adakah anda golongan berisiko tinggi?

Bayangkan bagaimana hidup anda jika hilang deria penglihatan, menggunakan kerusi roda akibat strok atau gangren kaki (kaki dipotong), dan berisiko tinggi mengalami serangan jantung sedangkan belum lagi mencecah umur 40 tahun.

Itulah apa yang menanti pesakit diabetes mellitus yang tidak atau gagal mengawal penyakitnya, sama ada kerana tidak mengubah gaya hidup, tidak mahu mengambil ubat atau mengambil ubat tradisional sesuka hati. Keadaan diburukkan lagi jika di kalangan mereka ini telah lama menghidap diabetes, sejak dari usia muda lagi.

Diabetes mellitus merupakan satu sindrom masalah metabolisma yang menyebabkan tahap gula di dalam darah yang tinggi (hiperglisemia) sama ada akibat masalah penghasilan (diabetes jenis pertama) atau fungsi (sensitiviti) insulin (diabetes jenis kedua atau diabetes gestasi).

Semua bentuk diabetes kini boleh dirawat sejak insulin berjaya dihasilkan secara komersial pada 1921 tetapi belum ada penawar yang dapat menyembuhkan pesakit sepenuhnya. Masalah paras gula tinggi di dalam darah kini dirawat melalui kombinasi ubat, kawalan pemakanan dan juga dos suntikan insulin.

Kardiovaskular

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan 171 juta penduduk dunia menghidap diabetes pada tahun 2000, dan jumlah ini dijangka meningkat lebih dua kali ganda menjelang 2030, dengan jumlah terbesar dijangka datang dari benua Asia dan Afrika.

Pakar Kardiologi dan Pengarah Klinikal Perkhidmatan Kecemasan Jantung, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Azhari Rosman turut menekankan bagaimana peratusan pesakit diabetes di Malaysia telah meningkat mendadak dari 6.3 peratus pada 1980-an dan sekitar lapan peratus pada 1996 kepada 14.9 peratus pada 2006.

“Diabetes sudah lama wujud dan ramai di antara pesakit IJN sendiri menghidapinya. Diabetes merupakan antara faktor risiko kuat untuk pesakit menghidap penyakit koronari kelak.

“Perubahan pada salur darah pesakit juga boleh dikesan seawal 15 tahun sebelum disahkan menghidap diabetes. Ini jauh lebih awal dari apa yang dijangkakan sebelum ini,” katanya.

Menurut beliau, antara masalah utama yang dihadapi di kalangan pesakit diabetes kini adalah keperluan mengambil bermacam jenis ubat setiap hari (untuk diabetes) sedang mereka turut menghidap penyakit lain yang juga memerlukan pengambilan ubat.

Dr. Azhari menegaskan jika sesuatu penyakit melibatkan pembuluh darah, ia akan menyebabkan kerosakan menyeluruh kepada seluruh badan.

“Salur darah terdapat di seluruh badan terutamanya di jantung dan otak yang boleh membawa kepada serangan jantung dan juga strok (bekalan darah ke otak tergendala), dan kalau lebih malang, kedua-duanya sekali.

“Pembedahan atau rawatan angioplasti juga rumit atau mungkin tidak boleh dilakukan jika pembuluh darah rosak teruk atau menjadi sempit akibat diabetes,” ujarnya.

Jelas beliau, memandangkan kerosakan sudah lama berlaku (seawal 15 tahun awal), gejala tertentu mungkin timbul sebelum pesakit dikesan menghidap diabetes.

Tambahnya, mati pucuk menjadi contoh gejala awal diabetes (atau masalah jantung) akibat kerosakan salur darah halus (mirovaskular) di dalam zakar.

Oleh itu, amatlah ditekankan pentingnya usaha pencegahan diabetes, terutamanya pada usia muda, melalui penjagaan gaya hidup sihat atau rawatan tertentu untuk mengelakkan diabetes di samping pemeriksaan kesihatan bagi mengenalpasti mereka yang berisiko menghidap tinggi.

Dr. Azhari turut mendedahkan purata umur serangan jantung di Malaysia kini ialah 57 tahun berbanding 66 tahun di Barat.

“Pesakit serangan jantung paling muda yang pernah dirawat di negara ini berumur hanya 19 tahun.

“Bukannya semua pesakit jantung menghidap diabetes tetapi digalakkan pesakit untuk mengetahui bahawa risiko diabetes boleh membawa kepada komplikasi buah pinggang, mata dan juga serangan jantung,” jelasnya.

Tambahnya, pesakit diabetes yang pernah menjalani pembedahan pintasan jantung juga menghadapi risiko salur darah kembali tersumbat dengan lebih pantas.

Di IJN, kebanyakan kes diabetes melibatkan jenis kedua di mana insulin tidak dihasilkan dengan cukup di dalam badan.

Dr. Azhari menjelaskan, untuk jenis kedua ini, ubat-ubat pil diberikan dahulu bagi mengurangkan tahap gula darah dan juga bebanan keperluan insulin badan.

“Jika gagal dikawal juga, pesakit mungkin perlu mengambil suntikan insulin untuk mengawal paras gula darah.

“Bagi kes teruk, doktor mungkin terus menggunakan suntikan insulin, atau mengikut pandangan doktor bergantung kepada usia dan keperluan individu pesakit,” jelasnya.

Menurut beliau, pesakit juga perlu mengurangkan berat badan, sekurang-kurangnya 10 peratus berat badan asal, atau lebih baik jika mencapai indeks jisim badan (BMI) yang sihat dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Mengelakkan komplikasi

Dalam usaha mengawal komplikasi diabetes, terutamanya masalah kardiovaskular, Dr. Azhari memaklumkan kejayaan IJN membentuk klinik diabetes sendiri untuk membantu memberi nasihat dan penerangan kepada pesakit.

“Dikendalikan bersama jururawat dan paramedik terlatih yang bergabung dengan doktor pakar diabetes, ahli farmasi dan pakar pemakanan, klinik ini dapat membantu pesakit dalam penjagaan komplikasi dan suntikan insulin.

“Pengurusan masalah diabetes di klinik ini juga membantu meringankan beban klinik lain di samping memberi ruang untuk pesakit bertanya sebarang keraguan yang tidak sempat dijawab doktor,” ujarnya.

Dr. Azhari menegaskan kawalan diet pemakanan merupakan antara perkara utama dalam mengubah gaya hidup pesakit diabetes tetapi masih diabaikan sesetengah pesakit.

“Selalunya, ramai yang mengambil snek (manis) di antara hidangan utama. Kawalan juga bukan hanya mengelakkan makanan bergula. Karbohidrat adalah antara bentuk gula dan buah tertentu seperti durian juga mengandungi banyak gula,” jelasnya.

Pengambilan buah memang digalakkan untuk kesihatan, tetapi Dr. Azhari menasihatkan pesakit diabetes untuk mengutamakan buah-buahan kurang manis seperti jambu batu atau buah naga.

Dr. Azhari menekankan pentingnya bagi pesakit yang disahkan menghidap diabetes untuk mengawal rapi penyakit tersebut supaya tidak membawa kepada komplikasi lain.

“Pesakit perlu mengawal rapi paras gula darah, tekanan darah dan juga tahap kolesterol melalui pengambilan ubat (atau insulin) dan juga perubahan gaya hidup.

“Bila sudah kena diabetes, pesakit akan hadapi risiko penyakit koronari yang sama tinggi dengan individu yang pernah (sekali) terkena serangan jantung,” tegasnya.

Dr. Azhari menekankan keperluan pesakit diabetes hadir untuk pemeriksaan susulan secara berkala, mengambil ubat mengikut preskripsi doktor dan kerap memeriksa tahap gula darah.

“Ada pesakit yang sudah bertahun-tahun menjalani rawatan dan pemeriksaan susulan tetapi masih tidak tahu atau kurang faham apa penyakit yang dihidapi, mahupun ubat yang sedang diambil. Pemeriksaan darah sepatutnya dimulakan seawal umur 30 tahun dan ditingkatkan menjelang umur 40 tahun,” katanya.

Beliau juga menegaskan perlunya pesakit bertanya kepada doktor yang merawat terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang ubat tradisional bagi mengelakkan masalah dalam kawalan diabetes dan mengelakkan komplikasi.

Hari Diabetes Sedunia

Sempena sambutan Hari Diabetes Sedunia 2008 pada 14 November ini (Jumaat), IJN juga akan mengadakan acara sambutan Hari Diabetes seperti tahun-tahun sebelum ini.

Dr. Azhari menyatakan, sambutan hari diabetes penting bagi mengenengahkan penyakit tersebut sebagai satu masalah kesihatan semua peringkat umur masyarakat, termasuk di kalangan pesakit-pesakit IJN sendiri.

“Saya berharap kesatuan dan pihak lain turut mengadakan program serupa bagi meningkatkan kesedaran di kalangan pesakit diabetes, orang ramai dan juga para doktor.

“Pihak kesatuan lain juga diharapkan memainkan peranan masing-masing seperti mana untuk sambutan Hari Hipertensi dan Hari Jantung Sedunia bagi mengurangkan impak penyakit diabetes dan komplikasinya kepada masyarakat setempat,” katanya.

Tegasnya, pencegahan dan pengesanan mereka yang berisiko menjadi keutamaan tetapi jika sudah menghidap diabetes, maka perkara paling penting adalah mengawalnya dengan rapi (tahap gula, tekanan darah dan kolesterol), lebih-lebih lagi jika pesakit mula menghidap diabetes dari usia muda.

Penawar

- Untuk diabetes jenis pertama

Buat masa ini, tiada penawar khusus yang praktikal untuk diabetes jenis pertama. Faktor punca diabetes jenis ini yang disebabkan kegagalan fungsi sel Beta, islets of Langerhans di dalam pankreas telah mendorong beberapa kajian dalam bagi menggantikan sel-sel tersebut atau menggantikan keseluruhan organ pankreas sebagai satu bentuk rawatan.

Hanya pesakit yang telah menjalani pemindahan (transplan) pankreas (atau pankreas bersama buah pinggang setelah diabetes menyebabkan masalah buah pinggang), dan seterusnya tidak perlu mengambil insulin lagi dianggap sebagai ‘sembuh’ daripada penyakit tersebut.

Transplan pankreas bersama buah pinggang juga dilihat sebagai antara jalan penyelesaian yang mungkin berkesan untuk penyakit ini dengan peningkatan jangka hayat pesakit. Namun, pemindahan organ memerlukan pesakit mengambil ubat anti-penolakan organ transplan, dalam jangka panjang.

Eksperimen pemindahan sel Beta sahaja juga telah dijalankan ke atas tikus dan manusia. Bagaimanapun, kaedah ini masih kurang berkesan berikutan kesukaran mendapatkan tisu penderma dan juga tindak balas penolakan oleh sistem imuniti badan pesakit.

Penyelidikan sel stem dikatakan mungkin menawarkan kaedah rawatan berpotensi dengan membolehkan sel Beta, islets of Langerhans, untuk tumbuh semula dan mengelakkan keperluan ubat anti-penolakan.

- Untuk diabetes jenis kedua

Diabetes jenis ini belum ada penawar yang berkesan sepenuhnya. Namun, sejenis pembedahan pintasan gastrik (perut) baru-baru ini dilihat mampu menormalkan paras glukosa darah dalam 80 hingga 100 peratus kalangan pesakit diabetes yang sangat obes.

Mekanisma yang membawa kepada paras gula darah yang normal ini belum difahami sepenuhnya dan masih lagi dikaji, tetapi kesan tersebut bukan hanya dikaitkan dengan penurunan berat badan berikutan kadar gula darah mula normal sebelum berat badan pesakit menurun. Pendekatan ini juga mungkin menjadi sejenis rawatan untuk pesakit diabetes jenis kedua kelak.

Pembedahan pintasan itu juga didakwa mempunyai manfaat tambahan dengan mengurangkan kadar kematian daripada semua jenis komplikasi diabetes, sehingga 40 peratus di kalangan pesakit yang sangat obes. Sebilangan kecil pesakit dengan berat badan normal atau sederhana obes juga dilaporkan telah berjaya melalui pembedahan serupa.

Komplikasi

Akut (boleh berlaku dengan pantas)

- Koma Hiperosmolar bukan ketotik (HNS); keadaan di mana pesakit mempunyai paras gula terlalu tinggi (lebih 16 mmol/L), menyebabkan air ditarik keluar dari sel badan ke dalam salur darah (secara osmosis) dan buah pinggang mula membuang glukosa ke dalam air kencing. Ini akan menyebabkan kehilangan air, yang jika tidak diganti melalui minuman atau melalui suntikan air, akan menyebabkan dehidrasi. Keadaan ini dianggap sebagai satu kecemasan dan penggantian cecair badan perlu dilakukan segera. Simptom rasa letih boleh membawa kepada koma tetapi keadaan ini lebih biasa berlaku dalam kes diabetes jenis kedua berbanding jenis pertama.

* Hypoglisemia; paras gula terlalu rendah dengan simptom berpeluh, menggigil, jantung berdegup kencang, sakit kepala dan boleh menyebabkan pesakit meracau atau pengsan. bagi kes yang teruk, pesakit boleh koma, sawan, mengalami kecederaan otak dan boleh menyebabkan kematian. Terdapat beberapa punca keadaan ini seperti lebihan dos rawatan insulin atau tidak cukup makan. Dalam kebanyakan kes, pesakit boleh dirawat dengan memberi minuman manis atau makanan tetapi bagi kes teruk, suntikan hormon glukagon (menggalakkan pengeluaran glukosa ke dalam salur darah) atau suntikan gula dextrose (satu bentuk glukosa) boleh diberikan.

Kronik (berlaku secara perlahan-lahan)

- Penyakit sistem vaskular; peningkatan tahap glukosa darah yang berpanjangan boleh membawa kepada kerosakan salur-salur darah (angiopati). Ini menyebabkan lapisan sel salur darah menyerap lebih banyak glukosa dari biasa memandangkan sel-sel tersebut tidak bergantung kepada insulin. Peningkatan penyerapan ini membawa kepada penebalan dan juga melemahkan lapisan tisu membran salur darah. Kerosakan salur darah dibahagikan kepada mikro (salur darah kecil) dan makrovaskular (salur darah besar-arteri). Kerosakan salur darah seterusnya membawa kepada;

* Retinopati diabetik; pertumbuhan salur darah baru yang rapuh dan tidak berkualiti pada retina mata. Ini juga boleh membawa kepada pembengkakan makula mata (makular edema) yang seterusnya boleh menyebabkan penglihatan pesakit semakin teruk atau menjadi buta. Masalah ini juga merupakan punca utama kebutaan yang boleh dicegah, di seluruh dunia.

* Neuropati diabetik; kerosakan saraf yang menyebabkan kehilangan deria rasa, bermula pada kaki dan berpotensi merebak ke bahagian saraf lain, termasuk deria rasa pada jari dan tangan. Digabung dengan kerosakan salur darah, keadaan ini boleh membawa kepada ‘kaki buruk’ diabetes. Terdapat juga keadaan dima mana otot menjadi lemah disebabkan komplikasi ini, dikenali sebagai amiotropi diabetik.

* Nefropati diabetik; kerosakan kepada buah pinggang yang boleh membawa kegagalan fungsi renal, akhirnya memerlukan pesakit menjalani dialisis. Diabetes mellitus adalah punca utama kegagalan fungsi buah pinggang di kalangan orang dewasa di negara dunia maju.

* Kardiomiopati diabetik; kerosakan pada jantung yang membawa kepada disfungi diastolik dan seterusnya kegagalan jantung berfungsi.

- Penyakit makrovaskular akan membawa kepada penyakit kardiovaskular di mana kerosakan pantas pada arteri menjadi faktor penyumbang kepada;

* Penyakit arteri koronori – membawa kepada angina atau serangan jantung (myocardial infarction).

* Strok – terutamanya jenis iskemik (pengurangan aliran darah ke bahgian tertentu otak).

* Penyakit vaskular periferal – menyumbang kepada rasa kebas (sakit) berulang-ulang (tempoh singkat) dan juga ‘kaki buruk’.

* Myonekrosis diabetik – kemusnahan otot.

* Kaki buruk diabetes – selalunya berlaku akibat gabungan neuropati (hilang deria rasa kaki) dan kerosakan salur darah. Peningkatan kadar ulser dan jangkitan kulit, dan kadang kala nekrosis atau gangren menyebabkan kerosakan atau kecederaan kaki lebih lambat sembuh. Komplikasi ini adalah punca utama pemotongan (amputasi) kaki bukan akibat trauma di kalangan orang dewasa di negara dunia maju.

Perwarisan genetik

Kedua-dua diabetes jenis pertama dan kedua mempunyai sekurang-kurangnya sebahagian kaitan dengan faktor warisan genetik.

- Diabetes jenis pertama dilihat tercetus akibat jangkitan tertentu (terutamanya dari virus), atau kadang kala oleh tekanan (stres) atau pendedahan persekitaran (bahan kimia atau ubat tertentu). Kaitan genetik dikatakan bersangkut paut dengan kod genetik individu yang membolehkan sistem imuniti badan membezakan sel badan dan sel asing (penceroboh).

Walaupun sesetengah individu mempunyai kelemahan dari segi warisan genetik, diabetes jenis pertama dilihat memerlukan faktor pencetus untuk mula berlaku. Sebilangan kecil penghidap diabetes jenis pertama juga mempunyai gen mutasi yang menyebabkan diabetes pada usia muda.

- Terdapat kaitan faktor genetik yang lebih kuat dengan diabetes jenis kedua. Mereka yang mempunyai saudara terdekat (ibu, bapa, adik-beradik) dengan diabetes jenis kedua mempunyai risiko lebih tinggi menghidapinya kelak. Peratusan risiko juga meningkat dengan bilangan saudara terdekat yang menghidap diabetes jenis ini, dan hampir 100 peratus kesejajaran bagi kembar seiras.

Lebih 25 peratus penghidap diabetes jenis kedua juga mempunyai sejarah keluarga dengan diabetes. Obesiti yang merupakan satu faktor bebas untuk diabetes jenis kedua juga mempunyai kaitan warisan genetik yang kuat.

Antara gen yang dikaitkan dengan diabetes jenis ini termasuk KCNJ11 dan TCF7L2 (transcription factor 7–like 2), which regulates proglucagon gene expression and thus the production of glucagon-like peptide-1.[3]


Kalau anda rasa anda berisiko tinggi pergi le buat checkup , jangan sampai dah terlambat baru nak menyesal. Diabetes boleh menyebabkan kerosakan organ didalam badan. Kalau dah kena diabetes dan lambat ambil ubat nanti macam macam komplikasi boleh berlaku. Sebab itu oleh ambil Insurance/takaful lebih elok lagi dengan Prudential dari usia muda ketika sihat. Jangan sebab sayang RM 100 - RM 200 sebulan nanti kering simpanan dalam bank.Buat le keputusan yang bijak.

No comments:

Post a Comment